Wednesday, May 25, 2011

Mari Buat Bisnes WIFI

Bisnes WiFi...
Murah, Mudah dan Menguntungkan....

 





Jintan hitam herba penawar penyakit




SELEPAS tiga hari melakukan ekspedisi menggali sebuah kawasan di Lembah Raja, Mesir, pada 26 November 1922 tepat pukul 4 petang, Howard Carter, akhirnya menemui sebuah makam yang telah menjadi obsesnya sejak bertahun-tahun.
Artifak-artifak berharga yang dijumpai di makam Firaun Tutankhamun itu terlalu banyak yang sesuai dengan tarafnya sebagai seorang raja. Howard memerlukan masa selama sedekad untuk merekodkan 3,000 artifak yang ada.
Kesemua barang yang didapati di dalam makam yang tidak pernah terusik oleh penjarah itu merupakan keperluan dan cara hidup seorang raja Mesir. Hanya yang terbaik sahaja dibawa bersama ke alam selepas mati.
Antara barang-barang yang ditemui oleh ahli arkeologi dari London itu adalah singgahsana yang diperbuat daripada emas, tempat beradu, balang-balang berisi minyak dan makanan yang berkhasiat dan sebagainya.
Salah satu bahan yang dijtemui di makam berusia ribuan tahun itu adalah sejenis minyak hasil perahan herba jintan hitam atau lebih dikenali di dunia Arab sebagai habbatus sawda.
Habbatus sawda adalah sejenis herba yang boleh didapati di kawasan-kawasan tertentu terutama di Mediterranean dan telah diamalkan sejak zaman nabi.
Walaupun masyarakat Melayu mengenalinya sebagai jintan hitam, tetapi bentuknya berbeza dengan jintan manis atau putih.
Bersaiz lebih kecil berbanding jintan manis dan berwarna hitam, ia mengeluarkan sejenis bau yang nipis dan berempah tetapi tidak terlalu kuat.
Jika dimakan mentah-mentah atau masih belum diproses rasanya agak pahit.
Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah berkata, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Gunakanlah habbatus sawda kerana di dalamnya terdapat sejenis ubat daripada segala jenis macam penyakit kecuali As Sam (maut).”


BIJIAN jintan hitam diperoleh dari pistil bunganya.


Menurutnya, hadis sahih riwayat Al-Bukhari itu adalah saranan dan galakan Rasulullah kepada umatnya untuk menggunakan herba tersebut.
“Ia bertindak sebagai penyelaras perjalanan darah dan ia tidak khusus kepada satu-satu penyakit sahaja.
“Ia lebih banyak mencegah penyakit daripada mengubatinya,” kata Mohd. Daud ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


Disebut dalam al-Quran

Kata Daud, atas gesaan Nabi itu, para sahabat seperti Saidina Ali dan Abdullah Auf turut sama mengamalkan habbatus sawda.
Sebaik-baiknya, habbatus sawda dimakan bersama madu, tambahan pula terdapat ayat dalam al-Quran, surah An-Nahla ayat 68 menceritakan berkenaan manisan lebah itu.
Mohd. Daud menegaskan, setiap perkara yang disebut dalam hadis dan al-Quran adalah yang terbaik untuk umat manusia serta mempunyai khasiat yang banyak.
Ia terbukti secara saintifik melalui kandungan bahan-bahannya yang terdiri daripada glukosa, polisakarida, kalsium, ferum, karotan dan asid amino.
Pakar Pemakanan Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shariza Abd. Razak berkata, habbatus sawda juga berfungsi sebagai bahan antitumor.
“Jadi, habbatus sawda amat baik untuk mengurangkan risiko dan mengawal penyakit kanser serta mampu meningkatkan kekuatan sistem imunisasi badan melawan penyakit seperti selesema,” katanya.
Menurut Dr. Shariza, individu yang mengalami alahan juga sesuai menggunakan habbatus sawda kerana terdapat bahan antihistamin di dalam jintan hitam itu.
“Bahan tersebut akan melawan histamin yang dihasilkan di dalam badan ketika alahan berlaku dan ia sesuai digunakan oleh penghidap ekzema atau radang kulit,” ujarnya.


BIJIAN habbatus sawda yang diimport oleh syarikat Seribu Dinar Distributor Sdn. Bhd. akan terus diproses bagi mengekalkan kualitinya.

Tinggi glukosa
 
Habbatus sawda juga boleh membunuh kuman kerana ia bertindak sebagi antibakteria.
Sehubungan itu, pesakit yang mengalami jangkitan bakteria terutamanya escherichia coli atau E. coli yang menyebabkan cirit-birit dan masalah penghadaman boleh mengamalkanya.
Bagi individu yang sentiasa mengalami keletihan dan sering tidak bermaya, habbatus sawda amat sesuai diamalkan kerana kandungan glukosanya yang tinggi.
“Habbatus sawda boleh bertindak sebagai bahan penambah tenaga dan biasanya dijadikan minuman atau sebagai salah satu bahan campuran dalam minuman seperti kopi dan teh,” ulas Shariza.
Selain dijadikan minuman, pengguna bebas membuat pilihan dalam apa bentuk sekalipun seperti kapsul atau minyak.
“Tiada had tertentu dalam pengambilannya malah kajian mendedahkan, seorang individu yang sihat dengan berat badan sebanyak 50 kilogram boleh mengambil antara satu hingga dua sudu teh sehari,” ulasnya.
Bagi sesetengah individu, jika habbatus sawda diambil berlebihan ia akan menyebabkan ketidakselesaan badan, panas badan dan gangguan fungsi tubuh tetapi ia masih lagi selamat untuk diambil.
“Tindak balas bergantung kepada individu dan sebaik-baiknya, ambil dalam sukatan yang disyorkan,” katanya berkongsi tip.

Petikan Daripada Kosmo, Rabu, 25 May 2011.

Sunday, May 22, 2011

Som tam

Som Tam

Kecur je ayaq liur ni bila dengar som tam...tapi masa tu belum cuba lagi...mak memang hebat dalam hal bercerita ni..terutama bab makanan...kalau dengar dia bercerita, macam kita sendiri yang makan..terasa kat tekak ni manis, masin, masam,...semua rasa la yang dia citer... Ni sebab mak punya cerita la ni, sampai mengidam-ngidam nak makan...

Memandangkan dah lama bercita-cita nak merasa som tam ni dan selalu sangat tengok ada org jual kat satu pasaraya di Kuala Lumpur ni, jadi di suatu petang hari yang indah dan nyaman, aku pun beli la som tam ni...fuhhh memang sedap. tercapai hasrah aku..tapi...kalo pandai buat sendiri, laaaaaaaagi-lagi la sedap..sebab lepas makan boleh makan lagi..tapiiii..... kan lagi sedap yang mak citer la...Hahaha...Haaa ni bahan-bahan yang aku tengok dia letak haritu...


Bahan-bahannya:

2 biji   Cili padi ( aku yang mintak dua, skali bila makan fuyyo...macam nak nangis pedas)
1 sudu udang kering (yang dah digoreng tanpa minyak)
1 batang kacang panjang (potong pendek2)
sedikit kacang tanah (dah digoreng tanpa minyak)
1 biji tomato (hiris)
betik (parut)
mangga (parut)
air gula (secukup rasa)
sos ikan/ sos thai (secukup rasa)
sos limau kasturi (secukup rasa)

Cara-cara

1. Tumbuk udang kering dan juga cili.
2. Kemudian tumbuk kacang. Tumbuk kasar.
3. Gesekkan kacang panjang dengan anak lesung agar pecah sedikit.
4. Memandangkan penumbuknya (lesung) besar dan panjang, jadi gaulkan semua bahan-bahan seperti mangga, betik, tomato, air gula, jus limau dan sos thai sehingga sebati di dalamnya. Jika tak cukup masin, masukkan lagi sos ikan. Tak perlu masukkan garam sebab sos ikan dah masin. Seimbangkan rasa masam, pedas dan manis sedikit.
5. Ok siap untuk dihidang...jangan lupa gunakan pinggan yang cantik-cantik, hias lawa-lawa...barula berselera nak makan...nyam2..



Sebenarnya setiap orang mempunyai resepi tambahan sendiri, terutama dalam penambahan buah-buahan atau sayur-sayuran. Sebagai contoh daun salad, kangkung, kubis, daun ketumbar, bawang besar, kulit tembikai(bukan yang hijau tapi yang putih..hehehe), dan sebagainya...jambu pun boleh la kot...terpulang mengikut cita rasa sendiri...yang pasti bahan-bahan asasnya adalah cili padi, udang kering, kacang tanah, gula, sos ikan/ thai, jus limau kasturi, betik....lain-lain bahan terpulang...betul tak...sedara-sedara...

Lesung



Haaa ni la lesung yang digunakan tu kawan-kawan..besor..bukan lesung batu tapi lesung kayu...kalo stakat tumbuk bawang sbijik tu, maafla xnapak bawang tu...hehehe...ok selamat mencoba...nanti kita cuba sama-sama yer...saya pun blom coba lagi ni....hehehe

Saturday, May 21, 2011

Kelebihan Dan Fadilat Berdoa

SESUNGGUHNYA, dalam kehidupan seharian, setiap umat Islam pasti mengharapkan rahmat dan keredaan daripada Allah SWT.

Malah, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah iaitu melaksanakan kewajipan dalam Islam seperti bersolat, bersedekah, memberi pertolongan secara ikhlas dan paling mudah ialah dengan berdoa.

Doa bukan saja dikategorikan sebagai satu ibadat di mana kita dituntut melakukannya, sebaliknya sebagai senjata kepada orang mukmin, terutama ketika menghadapi musibah dan kesusahan.
Allah SWT memerintahkan hamba-Nya supaya berdoa kepada-Nya kerana tiada tempat lain untuk kita memohon pertolongan melainkan kepada Allah semata- mata.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Mukmin, ayat 60, yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan doa permohonan kamu.” Sebagaimana diketahui, setiap doa yang ikhlas kepada Allah SWT akan dimakbulkan oleh-Nya, namun sebagai hamba, kita dituntut untuk bersabar kerana tidak semua doa itu diperkenankan serta-merta.

Jangan kita berputus asa kerana ada hikmat dan rahsia yang terkandung di dalamnya, sebaliknya hendaklah terus berdoa kepada Allah dengan perasaan yakin dan rendah diri kepada-Nya.
Dalam memastikan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah, kita hendaklah menjaga adab dan tata tertib ketika berdoa, iaitu antaranya hendaklah ia dalam keadaan berwuduk, memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah, memberi selawat dan salam kepada Rasulullah SAW.

Ketika berdoa juga, disunatkan menghadap kiblat dengan suara yang rendah sambil menadah dua tangan serta berdoa bersungguh- sungguh, khusyuk serta yakin doa akan diperkenankan.
Selain itu, jika tidak mahu doa kita ditolak, kita hendaklah memastikan makanan, minuman dan pakaian adalah adalah daripada sumber halal.

Perlu diingat juga, kita tidak boleh berdoa dengan sesuatu yang tidak munasabah dan mustahil atau mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada saudaranya yang lain.

Doa mempunyai banyak kelebihan dan fadilat yang sangat besar. Melalui doa, keampunan dan rahmat Allah akan diperoleh, manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar.

Selain itu, doa boleh menghindarkan daripada bala, walaupun bala itu adalah qada (ketentuan Allah SWT).

Ini sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bahawasanya: “Tiada yang boleh menolak qada Allah kecuali doa, dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan.” (Riwayat Al-Imam At-Tarmidzi) Oleh itu, sentiasalah berdoa baik ketika senang atau susah tetapi perlu diketahui bahawa, orang yang memperbanyakkan doa ketika dia dalam keadaan senang, Allah SWT akan memakbulkan doanya ketika dia dalam keadaan susah.

Sangat rugi bagi orang yang tidak berdoa kerana menutup bagi dirinya pelbagai kebaikan dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah.

Sebagai pengetahuan, ada banyak keadaan jika seseorang itu berdoa, doanya akan mudah dan cepat dimakbulkan.

Antara keadaan itu, doanya dilakukan pada malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan iqamah, ketika sujud dalam sembahyang, pada Ramadan, pada malam Lailatul Qadar, hari Arafah, pada waktu turunnya hujan, pada satu pertiga malam dan selepas menunaikan sembahyang fardu.

Namun, yang mendukacitakan, ada segelintir orang yang tidak mengambil berat amalan berdoa di mana, setelah selesai mengerjakan sembahyang, mereka akan terus bangkit tanpa berdoa terlebih dulu.

Ingatlah bahawa orang yang tidak mahu berdoa dianggap sebagai orang yang sombong kepada Allah. Oleh itu, perbanyakkanlah berdoa, mudah-mudahan kita semua memperoleh rahmat dan keredaan-Nya di dunia serta akhirat kelak.

**Petikan daripada Metro, Ahad 22 May 2011.