Tuesday, February 22, 2011

Rama-rama, anak anda dan kehidupan

PADA suatu pagi yang nyaman, saya sedang menikmati pemandangan di luar rumah sambil menjamah sarapan pagi.

Mata saya terlihat seekor rama-rama yang terdesak untuk mencari jalan keluar dari sebuah tingkap berkaca. Ia terbang ke kiri dan ke kanan, kemudian ke kiri semula. Namun di sebalik usaha keras itu, rama-rama itu masih gagal mencari jalan keluar, walhal terdapat sebuah ruang terbuka luas tidak jauh dari tempat rama-rama itu hinggap. Ruang berkenaan gelap sedikit kerana ditutup dengan bidai buluh untuk mengurangkan cahaya yang masuk menerusi tingkap.

Beberapa jam kemudian, saya dapati rama-rama itu sudah kaku tidak bergerak di atas lantai. Kalaulah ia terbang sedikit ke kawasan yang gelap itu, pasti ia akan menjumpai jalan keluar.
Ketika itu terus saya terfikir, "Bagaimana sekiranya saya jadi rama-rama itu?" Di sepanjang perjalanan hidup kita, mungkin ramai yang berusaha keras untuk melepaskan diri dengan mencari jalan keluar, sama seperti rama-rama itu yang terbang melalui tingkap yang cerah tetapi tertutup sedangkan peluang sebenar berada tidak jauh dari situ. Saya lantas terfikir apakah segala perkara yang cerah, bersinar dan terang itu baik untuk kita? Apakah jalan penyelesaian dapat ditemui pada kawasan suram dan gelap? Daripada cerita rama-rama ini, banyak pengajaran dapat saya rumuskan berkenaan nasib malang yang menimpa serangga itu. Antaranya:



1.   Bersusah-payah sebahagian daripada kehidupan.

Setiap orang pasti mempunyai perjuangan hidup tersendiri dan ini amat bagus untuk membina jati diri yang akan menjadikan seseorang itu tabah dan cekal menghadapi cabaran. Oleh itu, sebagai ibu bapa anda seharusnya membiarkan anak-anak bersusah-payah menguruskan kehidupan sendiri. Mereka mesti dibiasakan untuk melakukan kerja rumah seperti mengemas bilik, membasuh pinggan mangkuk, membasuh kasut sekolah malah menggosok baju sendiri.

Walaupun anda mempunyai pembantu rumah seharusnya anak-anak diajar untuk hidup berdikari dan bukan mengharapkan semuanya tersedia di depan mata. Sebaliknya ibu bapa tidak perlu risau kerana belum ada manusia yang mati akibat bekerja keras, apa yang dilakukan adalah untuk membina individu yang lebih baik dan lebih kuat semangatnya.

2.   Lihat dunia dari mata burung.

Selami cerita rama-rama tadi, apa yang rama-rama itu cuba lakukan adalah terbang menuju ke arah cahaya, bukannya mencari jalan keluar. Dalam konteks keibubapaan, segala usaha ibu bapa hendaklah ditujukan ke arah matlamat utama iaitu membina anak-anak yang hebat dan keluarga bahagia. Matlamat ini perlu sentiasa diberitahu kepada mereka.

Apabila ibu bapa mendisiplinkan anak-anak, mereka akan faham yang ibu bapa melakukannya kerana sayangkan mereka. Apabila ibu bapa menyuruh mereka bekerja kuat, itu kerana ibu bapa mahu mereka kuat dan berjaya. Letakkan matlamat ini di tempat paling utama dan jangan biarkan perkara remeh ditempuhi seharian melalaikan anak-anak daripada perjuangan sebenar. Lihatlah dunia dari mata burung. Pasti akan nampak jalan keluar dan bukannya cahaya yang membutakan mata saja.

3.  Apabila satu cara itu gagal, cuba cara lain.

Jangan sekali-kali berputus asa. Latih anak-anak supaya lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian. Anda boleh menunjukkan contoh yang baik dengan sama-sama berbincang dengan mereka. Sentiasa cari jalan yang baru untuk menghuraikan segala permasalahan.

Jika mereka tidak faham sesuatu perkara, tunjukkan dengan cara berlainan pula. Jika hubungan baik mulai keruh, cari jalan kreatif untuk menjernihkannya semula. Berfikirlah di 'luar kotak biasa - atau bagi rama-rama itu, di luar tingkap.'

4.   Bukan semua yang bersinar itu emas, bukan semua yang gelap itu batu.

Apa yang nampak bosan, gelap atau muram pada hari ini mungkin akan membawa kebaikan untuk esok hari. Begitu juga apa yang nampak menarik, bersinar dan cerah hari ini mungkin akan membawa kecelakaan kelak. Contohnya, pelajar yang bersuka ria pada awal tahun mungkin kandas di peperiksaan akhir tahun. Golongan pelabur yang mencari jalan pintas akan hangus terbakar ditipu orang. Sebaliknya, kerja keras di hari ini akan membawa pulangan besar pada masa akan datang.

Simpanan wang yang sedikit tetapi konsisten akan memberi durian runtuh beberapa tahun akan datang. Amal ibadat yang ikhlas dan tekun akan dibalas dengan rahmat Allah di akhirat kelak. Bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian. Rama-rama itu gagal mempraktikkan peribahasa ini kerana sibuk mengejar cahaya yang terang dan tidak mahu ke arah yang gelap sedikit. Harga yang perlu dibayar amat tinggi iaitu nyawanya sendiri.
   
5.  Buka minda, dengar penjelasan kedua-dua pihak.

Banyak manusia mengaku yang mereka berfikiran terbuka tetapi selalu gagal untuk mendengar penjelasan pihak lain. Saya yakin kita selalu terjumpa orang sebegini, malah mungkin diri kita sendiri.

Dalam kisah rama-rama itu, ia sepatutnya lebih berfikiran terbuka dan memeriksa kawasan yang lain. Bagi ibu bapa, berikan peluang dan perhatian untuk orang lain menjelaskan pendapat mereka. Apabila anak-anak bergaduh, jangan cepat menyebelahi mana-mana pihak tanpa mendengar dan meneliti faktanya. Berlaku adil dengan mendengar dan memahami keluhan mereka. Jangan terkejut jika anggapan kita terhadap mereka meleset sama sekali.

Itulah antara beberapa pengajaran daripada kisah rama-rama itu yang menunjukkan teladan kepada kita supaya anak-anak tidak menjadi seperti seekor rama-rama yang mati terperangkap di celah jendela kehidupan.

*Penulis adalah pembimbing ibu bapa bertauliah dan penulis buku, Ibu Bapa Bijak, Anak Hebat (www.SmartParents.com.my).
*Petikan daripada Harian Metro, Rabu, 23 Feb 2011

UBAT CINTA SEBELUM MATI...

Kisah ini mungkin bisa membuatkan kita menghargai sebuah kehidupan dan mencintai segala yang dimiliki dengan keindahan. Ahmad hadir berjumpa dengan seorang ustaz lalu berkata, “ustaz, saya sudah bosan hidup. Sudah jemu dengan segala yang saya lalui. Rumah tangga tidak aman, perniagaan tidak stabil dan segala usaha saya lakukan tidak berhasil. Saya sudah berputus asa dengan keadaan ini. Saya ingin mati.”

Ustaz tersenyum, “Oh, kamu sakit?” Jawab Ahmad… “Tidak Ustaz, saya tidak sakit. Saya sihat. Saya sudah sesak dengan kehidupan yang dilalui. Itu sebabnya saya ingin mati.” Seolah-olah tidak mendengar luahan itu, ustaz meneruskan, “Kamu sakit. Dan penyakit itu sebutannya ialah ‘Alergi Hidup’. Banyak sekali di antara kita yang mengalami masalah alergi terhadap kehidupan begini. Hidup ini berjalan terus. Sungai mengalir terus, tetapi kita menginginkannya melawan arus kehidupan. Kita berhenti di tempat, kita tidak ikut ia mengalir. Itu sebabnya kita jatuh sakit. Kita mengundang penyakit. Saat inilah namanyausaha diperlukan. Dalam perniagaan sentiasa ada pasang-surut. Dalam hal berumah-tangga, perbalahan kecil itu asam garam kehidupan.

Persahabatan pun tidak selalu kekal abadi. Kita tidak menyedari sifat kehidupan. Kita ingin mempertahankan suatu keadaan. Kemudian kita gagal, kecewa dan menderita. Lalu menemui jalan buntu.” “Penyakit itu bisa disembuhkan, asalkan kamu ingin sembuh dan bersedia mengikuti segala arahan ku.” demikian ujar Ustaz. “Tidak ustaz, saya sudah bosan hidup dan betul-betul ingin mati,” jelas Ahmad. “Baik, esok kamu akanmati. Ambillah tiga botol ubat ini. Satu botol minum malam ini, satu lagi esok awal jam enam pagi dan botol ketiga minum sebelum tidur buat kali terakhir, kau akan mati dengan tenang.”

Ahmad menjadi bingung dengan saranan ustaz tersebut. Kebanyakan ustaz yang dijumpai akan memberi semangat untuknya meneruskan hidup tetapi yang ini amat berbeza. Malah menawarkan racun kepadanya. Namun Ahmad menerimanya dengan senang hati kerana itu adalah kehendak dan tekad hatinya. Pulang kerumah, Ahmad terus sahaja menghabiskan botol pertama racun yang isebut sebagai “ubat” oleh ustaz itu tadi. Dan, ia merasakan ketenangan sebagaimana tidak pernah ia rasakan sebelumnya. Begitu tenang, begitu santai! Kini dia hanya tinggal satu malam, satu hari, dan ia akan mati. Ia akan terbebaskan dari segala macam masalah.

Malam itu, Ahmad memutuskan untuk makan malam bersama keluarga di restoran masakan barat. Sesuatu yang sudah lama tidak dilakukan selama beberapa tahun ini. Mungkin ini malam terakhir, ia ingin meninggalkan kenangan manis. Sambil makan, ia bersenda gurau. Sebelum tidur, Ahmad mencium bibir isterinya dan membisikkan, “Sayang, aku amat mencintai mu.” Kerana malam itu adalah malam terakhir, ia ingin meninggalkan kenangan manis!

Esok awal pagi Ahmad bangun lalu membuka jendela kamar dan melihat ke luar. Tiupan angin pagi menyegarkan tubuhnya, lantas tergoda untuk melakukan senaman berjalan kaki. Pulang ke rumah setengah jam kemudian, dia melihat isterinya masih lagi tidur nyenyak. Tanpa membangunkannya, ia masuk dapur dan membuat dua cangkir kopi. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk isterinya. Isterinya merasa cukup aneh sekali, “Abang, apa yang terjadi hari ini?” Jelas Ahmad… “Selama ini, mungkin aku salah dan mengabaikan sayang. Maafkan aku...”
Di pejabat, Ahmad menyapa setiap orang dan bersalaman. Kakitangannya pun menjadi bingung, “Hari ini, Bos berperangai agak aneh?” Dan sikap kakitangannya pun langsung berubah. Mereka menjadi lembut. Dan kerana hari itu adalah hari terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis buat semua! Tiba-tiba, segala sesuatu di sekitarnya berubah. Ia menjadi ramah dan lebih toleransi menerima pendapat orang lain. Tiba-tiba hidup menjadi indah. Ahmad mulai menikmatinya. Pulang ke rumah jam 5 petang, ia melihat isteri tercinta menunggunya di hadapan rumah dengan senyuman mesra dan memberikan ciuman kepadanya. Anak-anak pun tidak ingin ketinggalan, menyapa Ahmad dan berkata
“Ayah, maafkan kami semua. Selama ini jika ayah tertekan dengan perilaku kami semua.” Tiba-tiba, sungai kehidupannya mengalirkembali. Tiba-tiba, hidup menjadi sangat indah. Di malam hari Ahmad berhasrat untuk membatalkan niatnya untuk bunuh diri. Tetapi bagaimana dengan botol yang sudah dia minum sebelumnya, adakah dia akan menemui kematian?
“Ya Allah, apakah maut akan datang kepada ku. Jauhkan kematian itu Ya Allah! Aku takut sekali jika aku harus meninggalkan dunia ini”. Sepantas itu Ahmad segera menghubungi ustaz tersebut. Selepas menjelaskan segalagalanya pada ustaz, tentang betapa indahnya kehidupan ini kala dia lalui dengan rasa cinta dan penuh tenang. Ustaz faham benar dengan keadaan itu lalu berkata “Buang saja botol itu. Isinya air biasa. Kau sudah sembuh, Apabila kau hidup dalam keinginan, apabila kau hidup dengan kesedaran bahawa maut akan dating menjemput mu, maka kau akan menikmati setiap detik kehidupan dengan penuh berharga. Leburkan ego mu, keangkuhan mu, kesombongan mu. Jadilah lembut, selembut air. Dan mengalirlah bersama sungai kehidupan.

Kau tidak akan susah menghadapi setiap masalah kehidupan, tidak akan bosan. Kau akan merasa hidup. Itulah rahsia kehidupan. Itulah kunci kebahagiaan. Itulah jalan menuju ketenangan.” Ah, indahnya dunia ini……

Petikan daripada Majalah Nona 
Nukilan: En.Kiffy Razak

Monday, February 7, 2011

Kalendar Cuti Am Dan Cuti Sekolah 2011

Kalendar Pada post lepas terdapat kesilapan, ni saya gantikan dengan yang baru punyaaaa...

Ni pula senarai peristiwa pada tarikh tersebut.