Tuesday, February 22, 2011

Rama-rama, anak anda dan kehidupan

PADA suatu pagi yang nyaman, saya sedang menikmati pemandangan di luar rumah sambil menjamah sarapan pagi.

Mata saya terlihat seekor rama-rama yang terdesak untuk mencari jalan keluar dari sebuah tingkap berkaca. Ia terbang ke kiri dan ke kanan, kemudian ke kiri semula. Namun di sebalik usaha keras itu, rama-rama itu masih gagal mencari jalan keluar, walhal terdapat sebuah ruang terbuka luas tidak jauh dari tempat rama-rama itu hinggap. Ruang berkenaan gelap sedikit kerana ditutup dengan bidai buluh untuk mengurangkan cahaya yang masuk menerusi tingkap.

Beberapa jam kemudian, saya dapati rama-rama itu sudah kaku tidak bergerak di atas lantai. Kalaulah ia terbang sedikit ke kawasan yang gelap itu, pasti ia akan menjumpai jalan keluar.
Ketika itu terus saya terfikir, "Bagaimana sekiranya saya jadi rama-rama itu?" Di sepanjang perjalanan hidup kita, mungkin ramai yang berusaha keras untuk melepaskan diri dengan mencari jalan keluar, sama seperti rama-rama itu yang terbang melalui tingkap yang cerah tetapi tertutup sedangkan peluang sebenar berada tidak jauh dari situ. Saya lantas terfikir apakah segala perkara yang cerah, bersinar dan terang itu baik untuk kita? Apakah jalan penyelesaian dapat ditemui pada kawasan suram dan gelap? Daripada cerita rama-rama ini, banyak pengajaran dapat saya rumuskan berkenaan nasib malang yang menimpa serangga itu. Antaranya:



1.   Bersusah-payah sebahagian daripada kehidupan.

Setiap orang pasti mempunyai perjuangan hidup tersendiri dan ini amat bagus untuk membina jati diri yang akan menjadikan seseorang itu tabah dan cekal menghadapi cabaran. Oleh itu, sebagai ibu bapa anda seharusnya membiarkan anak-anak bersusah-payah menguruskan kehidupan sendiri. Mereka mesti dibiasakan untuk melakukan kerja rumah seperti mengemas bilik, membasuh pinggan mangkuk, membasuh kasut sekolah malah menggosok baju sendiri.

Walaupun anda mempunyai pembantu rumah seharusnya anak-anak diajar untuk hidup berdikari dan bukan mengharapkan semuanya tersedia di depan mata. Sebaliknya ibu bapa tidak perlu risau kerana belum ada manusia yang mati akibat bekerja keras, apa yang dilakukan adalah untuk membina individu yang lebih baik dan lebih kuat semangatnya.

2.   Lihat dunia dari mata burung.

Selami cerita rama-rama tadi, apa yang rama-rama itu cuba lakukan adalah terbang menuju ke arah cahaya, bukannya mencari jalan keluar. Dalam konteks keibubapaan, segala usaha ibu bapa hendaklah ditujukan ke arah matlamat utama iaitu membina anak-anak yang hebat dan keluarga bahagia. Matlamat ini perlu sentiasa diberitahu kepada mereka.

Apabila ibu bapa mendisiplinkan anak-anak, mereka akan faham yang ibu bapa melakukannya kerana sayangkan mereka. Apabila ibu bapa menyuruh mereka bekerja kuat, itu kerana ibu bapa mahu mereka kuat dan berjaya. Letakkan matlamat ini di tempat paling utama dan jangan biarkan perkara remeh ditempuhi seharian melalaikan anak-anak daripada perjuangan sebenar. Lihatlah dunia dari mata burung. Pasti akan nampak jalan keluar dan bukannya cahaya yang membutakan mata saja.

3.  Apabila satu cara itu gagal, cuba cara lain.

Jangan sekali-kali berputus asa. Latih anak-anak supaya lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian. Anda boleh menunjukkan contoh yang baik dengan sama-sama berbincang dengan mereka. Sentiasa cari jalan yang baru untuk menghuraikan segala permasalahan.

Jika mereka tidak faham sesuatu perkara, tunjukkan dengan cara berlainan pula. Jika hubungan baik mulai keruh, cari jalan kreatif untuk menjernihkannya semula. Berfikirlah di 'luar kotak biasa - atau bagi rama-rama itu, di luar tingkap.'

4.   Bukan semua yang bersinar itu emas, bukan semua yang gelap itu batu.

Apa yang nampak bosan, gelap atau muram pada hari ini mungkin akan membawa kebaikan untuk esok hari. Begitu juga apa yang nampak menarik, bersinar dan cerah hari ini mungkin akan membawa kecelakaan kelak. Contohnya, pelajar yang bersuka ria pada awal tahun mungkin kandas di peperiksaan akhir tahun. Golongan pelabur yang mencari jalan pintas akan hangus terbakar ditipu orang. Sebaliknya, kerja keras di hari ini akan membawa pulangan besar pada masa akan datang.

Simpanan wang yang sedikit tetapi konsisten akan memberi durian runtuh beberapa tahun akan datang. Amal ibadat yang ikhlas dan tekun akan dibalas dengan rahmat Allah di akhirat kelak. Bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian. Rama-rama itu gagal mempraktikkan peribahasa ini kerana sibuk mengejar cahaya yang terang dan tidak mahu ke arah yang gelap sedikit. Harga yang perlu dibayar amat tinggi iaitu nyawanya sendiri.
   
5.  Buka minda, dengar penjelasan kedua-dua pihak.

Banyak manusia mengaku yang mereka berfikiran terbuka tetapi selalu gagal untuk mendengar penjelasan pihak lain. Saya yakin kita selalu terjumpa orang sebegini, malah mungkin diri kita sendiri.

Dalam kisah rama-rama itu, ia sepatutnya lebih berfikiran terbuka dan memeriksa kawasan yang lain. Bagi ibu bapa, berikan peluang dan perhatian untuk orang lain menjelaskan pendapat mereka. Apabila anak-anak bergaduh, jangan cepat menyebelahi mana-mana pihak tanpa mendengar dan meneliti faktanya. Berlaku adil dengan mendengar dan memahami keluhan mereka. Jangan terkejut jika anggapan kita terhadap mereka meleset sama sekali.

Itulah antara beberapa pengajaran daripada kisah rama-rama itu yang menunjukkan teladan kepada kita supaya anak-anak tidak menjadi seperti seekor rama-rama yang mati terperangkap di celah jendela kehidupan.

*Penulis adalah pembimbing ibu bapa bertauliah dan penulis buku, Ibu Bapa Bijak, Anak Hebat (www.SmartParents.com.my).
*Petikan daripada Harian Metro, Rabu, 23 Feb 2011

No comments:

Post a Comment