Seperti melukis, kemahiran bersolek akan lebih mudah dikuasai jika anda bijak mengaplikasi teknik yang betul teknik ini perlu dibantu dengan pemilihan berus solekan tertentu agar solekan yang disapu, bertukar lebih kemas, rata dan semulajadi. Kenali fungsi-fungsi berus yang hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz ini agar solekan wajah anda menjelma sehebat sentuhan jurusolek profesional!
Bagi jurusolek amatur atau pengguna solekan harian seperti anda, beberapa jenis berus tertentu sudah memadai untuk digunakan. Walaupun tidak perlu melabur pada set berus profesional, anda masih perlu memilih berus yang bermutu tinggi serta selamat daripada sebarang kesan sampingan. Setiap berus direka untuk fungsi yang berbeza, tetapi demi tujuan yang sama iaitu membantu melindung ketidaksempurnaan dari mata kasar.
Bulu Asli & Sintetik
Di pasaran, terdapat dua jenis bulu berus yang dijual iaitu bulu asli dan bulu sintetik. Tidak sukar untuk mengenalinya kerana bulu berus sintetik lebih lembut bila disentuh dan berkilat di bawah cahaya. Berbeza dengan bulu berus asli, teksturnya agak kesat berbanding bulu berus sintetik yang diperbuat dari bahan nilon atau taklon. Berus bulu asli biasanya dibuat dari bulu tupai, badger, kolinsky dan kuda pony yang ditumpatkan.
Sebagai pengguna yang bijak, anda boleh menyuaipadan koleksi berus bulu asli dan bulu sintetik kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Contohnya tekstur berus bulu sintetik yang licin tidak mampu ‘memegang’ bedak dengan lama, jadi ia sebaiknya digunakan untuk aplikasi solekan berasaskan krim sahaja.
Fungsi Berus Asas
- Berus Besar – untuk meratakan bedak
- Berus Sederhana – untuk sapuan ‘shading’ yang rata
- Berus Sederhana, Hujung condong – untuk meratakan warna pemerah pipi
- Berus Kecil, Hujung Lebar Bentuk Kipas – untuk membersihkan sisa yang melekat
- Berus Kecil, Hujung Condong – untuk sapuan ‘shading’ di bahagian hidung
- Berus Kecil, Hujung Rata – untuk meratakan warna pembayang mata
- Berus Kecil, Hujung Keras Dan Rata – untuk sapuan pembayang pada alis mata
- Berus Tirus Berbentuk Sikat – untuk merapikan bulu alis mata
Membersihkan Berus
Berus yang bersih bukan sahaja menjamin kulit dari jangkitan, malah memastikan solekan yang disapu licin sempurna. Pastikan ia dibersihkan sekerap mungkin agar sisa- sisa yang terkumpul tidak menjadi tempat pembiakan kuman!
1. Anda boleh menggunakan pembersih berus yang berupaya mencuci, menyahkuman dan melembapkan bulu berus agar sentiasa terpelihara. ia baNyak dijual di pasaraya besar dan kaunter solekan terkemuka.
2. Pembersih berus juga boleh dibuat sendiri dengan campuran secawan cuka dan dua cawan air. Rendamkan berus anda dan bilas dengan air suam untuk menyahkuman. Jemur di atas sehelai tuala sehingga kering.
Petikan daripada Majalah Nona, Jun 2011.
No comments:
Post a Comment